Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah...
banyak yang anis dapat dari kupasan menarik Ustaz Zawawi Yusuf dalam
Forum Badar Kubra di Qaryah Ramadhan baru-baru ini. Paling menarik,
kisah batu belah batu bertangkup...
mungkin
sekali, malah anis cukup yakin bahawa para pembaca blog ini pasti
pernah mendengar kisah tersebut .. walaupun anis sendiri tidak pernah
menonton cerita “Batu Belah Batu Bertangkup” (percaya atau tak anis
memang tak suka menonton cerita P.Ramlee..(~~.)) Tapi banyak yang boleh kita koreksi dari kisah tersebut.
Anis
cukup tertarik dengan penyampaian ustaz. Benar dan sememangnya benar,
orang yang hatinya besar lantaran terlatih dengan ayat quran, terdidik
dengan tafsiran mukjizat ALLAH... pasti hatinya cukup-cukup besar.. AKU INGIN BERHATI BESAR!!!
Cerita
dongeng batu belah batu bertangkup pernah kita dengar. Setidak-tidaknya
sekali terutamanya semasa kecil hati kita mungkin pernah merasa seram
dan ditakut-takutkan oleh kisah seorang ibu menyerahkan dirinya ke dalam
sebuah gua batu yang boleh menelan manusia. Lalu hati kita kecut,
takut-takut ibu kita pula akan ditelan batu. Lalu kita pun berhenti
menangis atau merajuk takut-takut ibu kita akan mengalami keadaan yang
sama. Walaupun cerita ini jelas berunsurkan dongeng malah di sesetengah
tempat terdapat elemen tahyul, namun cerita ini tetap masyhur
disampaikan dari generasi ke satu generasi.
Diringkaskan
kisahnya berlegar disekitar seorang balu miskin dengan dua orang
anaknya yang masih kecil. Yang sulung, seorang perempuan, manakala yang
bongsu pula seorang lelaki. Ibu tersebut terpaksa menyara dan memelihara
kedua anak itu setelah suaminya meninggal dunia. Justeru ibu miskin
tadi terpaksa menyara kehidupan anaknya dengan membuat berbagai-bagai
kerja, dari bercucuk tanam, mengambil upah bekerja di rumah orang
hinggalah menangkap ikan. Matlamatnya cuma satu, yakni janganlah kedua
anaknya mati kebuluran.
Pada
suatu hari, ibu tadi berjaya menangkap seekor ikan Temakul (betul kan
eja macam ni?) yang mempunyai telur. Setelah ikan ini siap dimasak, si
ibu tadi berpesan kepada anak perempuannya agar memberi anak lelaki
kecilnya makan. Manakala dia terpaksa keluar kerana masih ada kerja yang
hendak dibuatnya. Sebelum pergi siibu mengingatkan anak perempuan agar
menyimpan sedikit telur ikan Temakul yang telah siap dimasak untuk
dimakannya sewaktu pulang ke rumah nanti. Sepeninggalan ibunya, kakak
tadipun memberi adiknya makan. Setelah habis bahagian siadik, kakaknya
menjadi bimbang kerana siadik masih belum puas, dia terus menerus minta
tambah sedangkan tidak ada lagi telur ikan yang tinggal kecuali yang
telah disimpan untuk si ibu.
Si
adik terus menangis, merayu-rayu dan merengek-rengek minta tambah.
Setelah beberapa lama, si kakak tidak sampai hati, lalu memberi baki
telur ikan Temakul bahagian si ibu untuk adiknya. Telur ikan itupun
habis semuanya. Tidak lama kemudian si ibu pun pulang. Alangkah kecewa
hatinya apabila didapati telur ikan yang sangat diinginkannya telah
habis dimakan oleh anaknya. Ia kecewa, marah dan benar-benar terkilan.
Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar membawa dirinya ke batu
belah batu bertangkup untuk ditelan.
Dia pun berlari ke tempat batu itu sambil berkata, “batu belah batu bertangkup, telanlah aku, ambillah aku… aku keempunan telur ikan temakul.”
Begitu diseru berulang-ulang sambil berlari dengan deras menuju batu
belah batu bertangkup. Melihat keadaan itu, sikakak pun mengejar ibunya
sambil mengendung adiknya. “Ibu, ibu… jangan, jangan tinggalkan kami.”
Pendek cerita, siibupun ditelan batu dan tinggallah kedua anak tadi
menjadi yatim piatu.
Cerita
itu terus bersambung dengan pelbagai episod lagi. Hinggalah kononnya
kisah ini berakhir dengan ‘happy ending’ bila si adik lelaki berkahwin
dengan puteri raja dan si kakak juga turut berkawin dengan putera raja.
Namun
apa yang hendak diiulas menerusi tulisan ini cukup hanya setakat itu
sahaja. Sebenarnya, fokus kisah ini boleh diberikan ditujukan kepada dua
subjek. Pertama, subjek pendidikan, kedua subjek komunikasi.
Dalam soal pendidikan, jelas terdapat kepincangan yang besar pada
karektor ibu dalam kisah ini. Sebagai ibu, perbuatan merajuk atas
perbuatan anak (dalam kes ini sehingga sanggup membunuh diri) adalah
salah. Ibu adalah individu yang mesti mengasehi anaknya sepenuh hati yakni secara ‘love without condition’. Maksudnya, cinta tanpa syarat. Apa sahaja sanggup dikorbankan demi kebahagian anak, hatta diri sendiri.
Dalam
kisah ini, jelas kelihatan jiwa siibu terlalu kecil dan rapuh, sehingga
begitu terkesan dengan perbuatan anaknya yang masih kecil dan belum
matang berfikir. Sedangkan dalam proses mendidik anak, kesabaran dan
kebijaksanaan sangat diperlukan. Seorang ibu adalah juga seorang
pendidik yang benar-benar merasakan tugas mendidik anak ialah amanah
besar daripada Allah. Siibu harus sedar bahawa dia sedang memikul tugas
warisan para rasul khususnya nabi Muhammad SAW. Jika seorang jurutera,
doktor, peniaga dan juruterbang berdepan dengan benda atau persoalan
yang berbentuk fizikal, lain halnya pula dengan siibu yang berdepan
dengan karenah anak yakni manusia yang punya jiwa, akal, nafsu dan
perasaan. Oleh itu seorang ibu sedikit-sebanyak mesti memiliki kesabaran
para Rasul.
Jika
kita buka lembaran sejarah, banyak iktibar yang boleh kita ambil
khususnya tentang kesabaran para Rasul menghadapi karenah umatnya.
Beberapa kesilapan para Rasul kadangkala diperbetulkan oleh Allah
terutamanya apabila mereka ‘berasa hati’ dengan umatnya. Walaupun telah
sekian lama berdakwah dan tetap ditolak seruannya, namun Allah terus
mengingatkan para Rasul-Nya agar tidak berasa kecewa, apalagi merajuk
bila berdepan dengan kedegilan umat. Dan beberapa insiden telah berlaku
yang merupakan didikan lansung dari Tuhan agar para Rasul tidak
mengulangi kesilapan mereka. Nabi Yunus AS misalnya, telah ditelan ikan
kerana bertindak meninggalkan kaumnya. Begitu juga yang terjadi kepada
Nabi Zakariya AS, Nabi Yahya AS dan lain-lain. Bukan itu sahaja bahkan
setiap Rasul merasakan kesilapan masing-masing apabila dihadapkan di
mahkamah Allah di Padang Mahsyar kelak. Oleh hal yang demikian, para
Rasul tidak berani menunaikan permintaan umat masing-masing untuk
memohon kepada Allah bagi mempercepatkan perbicaraan di Padang Mahsyar.
Hanya Nabi Muhammad sahaja yang sanggup memohon kepada Allah untuk
dipercepatkan perbicaraan itu.
Nabi
Muhammad saw telah menunjukkan keunggulan berbanding para Rasul yang
lain apabila baginda tidak sedikitpun berasa hati apalagi merajuk
terhadap karenah umatnya. Baginda telah menunjukkan ketinggian peribadi
apabila sering mendoakan orang yang menentangnya. Peristiwa di Taif
misalnya, menunjukkan bagaimana baginda menolak tawaran para malaikat
untuk menghancurkan penduduk Taif yang menghinanya. Bukan itu sahaja,
bahkan baginda mendoakan agar generasi kemudian penduduk Taif akan
mendapat hidayah. Inilah sifat mulia yang menjadi syarat untuk
menjayakan proses pendidikan. Tetapi inilah yang tidak ada pada si ibu
dalam kisah batu belah bertangkup ini. Sifat mudah merajuknya, bukan
sahaja membinasakan dirinya tetapi juga kedua anak yang ditinggalkannya.
Si ibu telah merajuk atas sebab yang sangat remeh, yakni sekadar tidak
dapat makan telur ikan, bukan sebab-sebab besar yang boleh dianggap
penting dalam hidup. Sikap yang sepatutnya diambil oleh iibu ialah
berlapang dada dengan sikap anak yang belum boleh berfikir apalagi
merasai keinginan dan perasaannya.
Anak
yang belum baligh, dan mungkin dalam kes ini belum mumaiyiz,
sekali-kali tidak boleh dilayan sebagai orang dewasa kerana mereka masih
tidak boleh berfikir, menilai dan bertindak dengan betul. Bukan sahaja
ibu-bapa, malah Allah sendiripun tidak meletakkan sesuatu tanggung-jawab
atau kewajiban terhadap anak-anak yang masih belum mumaiyiz dan belum
baligh. Hanya apabila baligh barulah anak-anak dikira mampu menilai,
berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul.
Ketika itu barulah input berbentuk ilmu, ajaran dan didikan boleh
diterima, difahami dan diamalkan oleh anak-anak. Dan ini hanya dapat
dicapai apabila seorang anak itu mencapai usia baligh. Bila baligh
barulah si anak dianggap layak untuk diberi pertanggung-jawapan dan
dihukum sekiranya mengabaikan tanggung-jawab itu.
Mengambil
kira hakikat ini, kesalahan ibu dalam cerita ini ialah kerana dia
menganggap anak-anak sepertinya juga. Dia terlalu mengharap anak-anak
itu akan memahami, bersimpati terhadapnya dan melakukan tindakan yang
selaras dengan kehendaknya. Tetapi realitinya tidaklah sebegitu.
Anak-anak mempunyai kelemahan yang banyak. Justeru mereka belum mampu
berfikir dan menilai seperti mana orang dewasa. Dengan yang salah ini,
sering terjadi para ibu memarahi merajuk, kecewa bahkan menghukum
anak-anaknya tanpa mempertimbangkan kelemahan-kelemahan anak-anak itu.
Dalam konteks ini Rasulullah telah berpesan berpesan “suruhlah anak-anak
sembahyang pd umur 7 tahun. Pukullah mereka jika tidak sembahyang
apabila umur 10 tahun.”
Kenapa
anak-anak 7 tahun tidak boleh dipukul? Ini kerana kalau mereka
melakukan kesalahan pada usia itu, bukanlah kerana kedegilan atau
keengganan mereka tetapi kerana mereka belum cukup matang untuk menilai
yang mana baik dan yang mana buruk. Sebab itu diperingkat ini, memberi
ilmu, membimbing dan menunjukkan teladan yg baik lebih utama dr
menghukum. Saidina Ali juga telah memberi panduan bahawa anak-anak yg
berumur 7 tahun ke bawah hendaklah diberi kasih sayang secara banyak
bermain-main bersama mereka. Supaya dengan itu anak-anak meyakini bahawa
ibu-bapa memang kasihkan mereka. Setelah mereka berumur 10 tahun ke
atas, barulah menurut Saidina Ali, mereka itu boleh didisiplinkan dengan
adab-adab dan peraturan.
Malangnya
ibu dalam kisah ini, tidak mengikut panduan-panduan yg tepat dalam
mendidik dan menangani karenah anak-anaknya. Dia melakukan kesalahan
besar kerana menyangka anak-anaknya mementingkan diri dan tak
menyayanginya kerana memakan telur tembakul. Sedangkan sebenarnya, anak
itu sayang kepadanya. Tetapi oleh kerana fikiran mereka tidak dapat
menjangkau fikiran dan perasaan si ibu, si kakak memberi telur temakul
kepada adiknya. Bukan kerana mementingkan adik lebih dari ibunya, tetapi
semata-mata kasihan melihat adik yang menangis-nangis meminta telur
tersebut. Dan si anak kecil juga, kerana terlalu kecil, apa yg
difikirkan hanyalah makan. Dia belum boleh berfikir tentang perasaan dan
kehendak ibunya. Apalah yang boleh difikir oleh anak sekecil itu,
melainkan lapar, sakit, bermain dan sebagainya?
Subjek
kedua dalam kisah ini ialah masalah komunikasi antara ibu dan
anak-anak. Dalam kisah ini, jelas tidak adanya komunikasi berdasarkan
simpati dan empati antara kedua-dua belah pihak iaitu pihak si ibu
dengan pihak si kakak tadi. Dalam komunikasi yang baik, sikap ‘seek to
understand then to be understood’ – sikap memahami orang lain terlebih
dahulu barulah orang memahami diri kita sangat perlu. Kita mesti cuba
menyelami perasaan, keadaan dan juga kesusahan yang dihadapi oleh orang
lain sebelum membuat sesuatu tanggapan, atau suatu penilaian
terhadapnya. Dalam ini misalnya, si ibu gagal menyelami perasaan si
kakak yang simpatikan kepada adiknya. Dan ibu juga gagal perasaan si
adik yg begitu sukakan telur ikan.
Sedangkan
si ibu boleh membuat pelbagai alasan bagi pihak anaknya, tentang
kenapa anaknya bertindak demikian. Contohnya, si ibu boleh beranggapan
bahawa anaknya terlalu lapar. Mungkin telur ikan itu yg paling sedap
pernah dirasainya dan pelbagai alasan yg lain. Apabila kita meletakkan
diri kita pada kedudukan orang yg sedang kita berkomunikasi dgnnya, maka
mudahlah kita membuang rasa negatif seperti sikap prasangka, prajudis
dan marah yg tidak diketahui puncanya. Dalam perhubungan, kita tak boleh
mementingkan diri sendiri. Yakni kita terlalu memikirkan diri kita
tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Kalaulah si ibu dapat menyelami
dilema yang dihadapi oleh anak perempuannya, dan kelaparan yang dialami
oleh anak lelakinya, maka sudah pasti dia rela mengorbankan telur ikan
itu.
Si
ibu berada di satu keadaan yang boleh menyelami perasaan seorang anak,
sedangkan sianak tidak mampu menyelami perasaan si ibu. Apa yang boleh
dilakukan oleh ibu tersebut ialah menahan sabar, menahan lidahnya,
menahan perasaan dan berkata pada dirinya sendiri… “anakku hanya seorang
budak lelaki yang kecil, terlalu kecil untuk mengerti penderitaanku.”
Dia harus sedar bahawa anak itu tidak boleh dilayani sebagai seorang
dewasa. Dan dia telah meminta terlalu banyak daripada anaknya yang masih
kecil. Siibu harus sedar… bahawa Tuhan pun tidak menghukum anak yang
masih kecil. Kesimpulannya, jiwa siibu dalam kisah batu belah batu
bertangkup ini terlalu kecil… Terlalu kecil untuk memainkan peranan yang
terlalu besar. Ya, orang yang berjiwa kecil tidak akan mampu mendidik
sekalipun seorang anak yang kecil!
Jadi... kita hanya tinggal memilih... adakah mahu menjadi orang berjiwa besar atau berjiwa kecil..
Demi Islam, Kita Berjuang, Ikhlaskan Segalanya
Memikir dalam kesakitan,
Title: hati kecil dan hati besar
Posted by:
Published :2013-09-05T10:16:00-07:00
hati kecil dan hati besar
Posted by:
Published :2013-09-05T10:16:00-07:00
hati kecil dan hati besar

0 komentar:
Post a Comment